Istilah daripada kamus The Oxford : The art of representing by line, delineation without color or with a single color; terjemahannya berbunyi ‘lukisan ialah garisan yang membentuk imej dengan tidak menggunakan warna atau menggunakan warna yang terhad. Lukisan adalah kerja – kerja di peringkat awal dalam menghasilkan catan, cetakan, arca dan pelbagai lagi kerja – kerja seni. Namun begitu, pengertian lukisan itu seringkali disalahertikan oleh kebanyakan orang yang menganggap bahawa lukisan dan catan adalah sama.
Melukis dikatakan dapat memberi kesan terhadap diri individu dan keaslian karya kepada pengkarya. Ini adalah kerana, melukis kebiasaannya dilakukan secara spontan yang melibatkan gerak hati dan dizahirkan melalui gerak tangan. Melukis dengan kerap adalah merupakan latihan kemahiran melukis dimana pelukis akan dapat menghayati lukisannya. Pelukis agong, Albrecht Durer, dalam lukisannya yang bertajuk ‘Head of an Apostle’ telah memperlihatkan penggunaan teknik garisan silang dalam karya tersebut. Penegasan adalah tertumpu kepada bahagian muka. Penggunaan garisan dapat memberikan kesan pada form dan ton. Sementara itu bagi pelukis Rembrandt dalam lukisannya yang bertajuk ‘The Omval’ memperlihatkan penggunaan pelbagai jenis garisan. Garisan dalam karya tersebut memberi kesan perspektif dan membentuk lanskap yang menarik.
FUNGSI DAN BENTUK LUKISAN
Lukisan adalah proses yang ringkas dan cepat untuk merakam idea dan imej secara visual selepas pemerhatian rapi dibuat. Garisan, titik – titik lorekan dan gurisan digunakan untuk merakam idea atau imej di atas kertas atau apa saja permukaan yang rata. Lukisan juga boleh diubahsuai atau diperkembangkan untuk membentuk hasil seni yang lain. Catan, cetakan, arca, seni grafik dan kraftangan adalah bermula daripada lukisan ringkas yang juga dikenali sebagai lakaran.
Lukisan yang dihasilkan menerusi pengamatan, kajian dan imaginasi akan menghasilkan karya seni yang kreatif. Jadi, latihan yang banyak akan dapat melatih dan meningkatkan lagi nilai lukisan. Pemerhatian yang rapi dan teliti akan membolehkan seseorang pelukis merakam imej atau objek yang lebih bermakna lagi. Objek yang terdapat disekeliling kita samada objek semulajadi atau buatan manusia boleh dijadikan bahan dalam lukisan. Had masa melukis adalah tidak berapa penting. Biasanya, lukisan yang ringkas yang hanya memerlukan masa selama 10 minit mampu mengandungi maklumat yang mencukupi untuk menghasilkan karya seni yang menarik.
Lukisan yang menarik biasanya ialah hasil lukisan pelukis yang berminat atau mempunyai minat yang mendalam dalam berkarya. Objek yang dilukis kadangkala tidak semestinya menarik minat pelukis tetapi proses melukis serta kaedah baru seseorang pelukis melukis objek berkenaan yang menimbulkan rangsangan untuk mencuba dan memperkembangkan lukisannya.
BAHAN DAN MEDIA
Penggunaan bahan dan media adalah penting dalam menghasilkan lukisan. Tetapi ini tidak bermakna bahan dan media yang mahal sahaja mampu menghasilkan lukisan yang bermutu dan menarik. Lukisan yang bermutu dan kreatif boleh dihasilkan dengan menggunakan bahan yang biasa sahaja. Tidak dinafikan juga, penggunaan bahan yan gmahal dan berkualiti merupakan satu rangsangan dalam penghasilkan lukisan.
PENSEL
Pensel merupakan media serba boleh dalam bidang lukisan. Ia digunakan untuk menghasilkan pelbagai nilai di atas banyak permukaan. Pensel digolongkan mengikut nilai kekerasannya. Pensel 6H ( paling keras ) hingga H; kemudian HB; seterusnya B, 1B hingga 8B (paling lembut). Pensel lembut seperti HB atau B adalah sesuai untuk lukisan biasa. Jika pensel HB atau B digunakan secara tajam, ia akan menghasilkan garisan yang tajam dan jika ditekan garisan yang terbentuk akan lebih tinggi nilai kepekatannya. Pensel HB atau pensel yang lembut adalah lebih senang untuk dikawal berbanding pensel yang keras. Garisan yang dihasilkan oleh pensel lembut boleh dicomotkan dengan kaedah gosokan dengan tangan atau pemadam. Jika terlalu banyak bahagian sesebuah lukisan itu dicomotkan, lukisan itu akan kelihatan samar-samar.
ARANG
Arang merupakan bahan yang memberi kebebasan untuk menghasilkan lukisan secara spontan. Arang yang pendek adalah lebih senang digunakan. Comotan dengan tangan atau pemadam akan menghasilkan pelbagai jalinan dalam lukisan menggunakan arang. Manakala kesalahan pula adalah senang untuk diperbaiki kerana lukisan asal senang dipadamkan dengan menggunakan kain. Hasil lukisan yang telah siap mestilah disemburkan dengan bahan pemati dan seterusnya dilindungi dengan kertas tisu bagi mengelakkan comotan.
PEN DAKWAT
Pen dakwat adalah salah satu alat melukis yang senang untuk digunakan. Pen seperti Rapidograph, Rotring dan Faber Castle mempunyai mata pen yang pelbagai saiz. Dakwat kalis air akan menghasilkan kesan warna yang legap. Dakwat biasa adalah kurang legap jika digunakan dan akan memberi beberapa nilai warna jika digunakan secara terkawal. Air boleh dicampurkan kepada dakwat jika warna yang lebih terang diperlukan.
PEN MATA BOLA
Pen mata bola sesuai digunakan untuk lakaran yang ringkas atau contengan, tetapi sukar untuk menghasilkan lukisan yang pelbagai nilai warna dengan menggunakan pen yang sama.
PEN FELT
Pen felt sesuai digunakan untuk lakaran atau contengan.
CONTE CRAYON
Conte crayon mempunyai kekerasan yang berbeza. Cara menggunakan conte crayon adalah sama seperti menggunakan menggunakan arang.
KRAYON LILIN
Krayon lilin lembut tetapi sukar untuk dipadam setelah dilukis. Salah satu ciri istimewa crayon lilin adalah gurisan boleh dibuat di atas lukisan untuk menimbulkan kesan yang menarik.
PASTEL
Pastel adalah lebih lembut daripada krayon lilin dan mempunyai banyak warna.
Pastel adalah lebih lembut daripada krayon lilin dan mempunyai banyak warna.
BERUS
Berus telah lama digunakan oleh pelukis – pelukis Cina dan Jepun sebagai alatan melukis mereka. Lazimnya, berus yang besar boleh menghasilkan garisan yang nipis jika dikawal dengan betul. Berus yang kecil pula mampu menghasilkan garisan yang tebal daripada garisan yang dihasilkan dengan mata pen yang lebar.
Post a Comment